
Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)
KOTA BHARU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Kempen Internet Selamat (KIS) yang diadakan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Ketika petugas SKMM memberikan penjelasan mengenai Kempen Internet Selamat.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang diketuai Pengarah MCMC Kelantan Hairudin Mohd Zin bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan penggunaan Internet secara selamat khususnya dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak agar lebih peka terhadap aspek keselamatan digital.
Salah seorang pengunjung Nuraini Mohd Rashidin, 28, berkata kempen ini sangat baik kerana masih terdapat ibu bapa yang kurang memantau penggunaan Internet anak-anak mereka.
“Melalui kempen ini, ibu bapa dapat diberi kesedaran tentang cara penggunaan Internet yang selamat dan membantu mencegah anak-anak daripada menjadi mangsa scam (penipuan),” katanya kepada Malaysia Aktif.

Pengunjung mendaftar secara dalam talian.
Seorang lagi pengunjung, Farah Ashiela binti Zulkefle, 38, berkata beliau menyokong penganjuran kempen seperti ini kerana ia dapat memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai keselamatan penggunaan Internet.
Antara aktiviti yang diadakan ialah edaran Kit Ramadan percuma, sesi interaktif berkaitan keselamatan Internet serta demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa (parental control) bagi membantu ibu bapa memantau penggunaan Internet anak-anak.
Sebanyak 500 Kit Ramadan berjaya diedarkan kepada pengunjung bazar sepanjang kempen berlangsung.
-RI





