
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/ MAIWP Labuan
LABUAN, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 450 keluarga terpilih dari kalangan penerima Bantuan Sara Hidup MAIWP dirai dalam Majlis Iftar MADANI Bersama Asnaf 2026 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini semalam.

Marhamah (dua dari kanan) menyampaikan barangan keperluan dapur kepada salah seorang penerima.
Menurut kenyataan MAIWP, keluarga terpilih itu dari pelbagai latar belakang seperti ibu tunggal, warga emas dan asnaf yang mempunyai ramai tanggungan.
“150 orang ketua keluarga menerima sumbangan barangan keperluan dapur bernilai RM100 seorang serta kuih raya bernilai RM200 bagi membantu persiapan menjelang Aidilfitri dengan kos keseluruhan RM45,000 selain anak- anak keluarga MAIWP turut menerima duit raya RM50 seorang sebagai tanda kegembiraan menyambut Syawal yang bakal tiba.
“Majlis turut menyaksikan penyampaian cek cura Bantuan Persediaan Ramadan 1447H/ 2026M kepada 6,600 penerima di Wilayah Persekutuan Labuan bernilai RM3.3 juta dan cek cura Bantuan Sara Hidup MAIWP bagi tahun 2026 bernilai RM40.84 juta kepada 6,600 penerima di Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut kenyataan tersebut.

Marhamah (tengah) menyampaikan Bantuan Ihya’ Ramadan kepada Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan.
Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menerima cek cura Bantuan Ihya’ Ramadan bernilai RM1.45 juta bagi membantu setiap jawatankuasa pengurusan masjid dan surau melaksanakan program dan aktiviti sepanjang Ramadan.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli.
-RI





