
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Santuni Pertubuhan Belia (SPB) menjadi medan penting untuk berkongsi maklumat serta memberi pendedahan awal mengenai inisiatif SejaTi MADANI x Belia, sekali gus membuka peluang kepada pertubuhan belia merancang program pembangunan komuniti yang lebih berimpak.

Abdul Kahar ketika menyampaikan ucapan perasmian program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026.
Suasana di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu yang menghimpunkan kepimpinan belia dari seluruh Terengganu ini, kelmarin jelas memperlihatkan komitmen tinggi golongan belia apabila wakil pelbagai pertubuhan belia negeri ini berkumpul bagi menyertai program tersebut.
Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Dato’ Abdul Kahar Abdul Latif, berkata penganjuran program SPB merupakan platform utama bagi membantu pertubuhan belia memahami proses serta keperluan untuk memohon Geran SejaTi MADANI.
Jelasnya, pada 8 Februari lalu Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammad Taufiq Johari telah melancarkan dana SejaTi MADANI x Belia, yang membuka peluang kepada pertubuhan belia berdaftar di seluruh negara untuk mendapatkan geran di bawah Dana Komuniti MADANI.

Abdul Kahar bersama wakil pertubuhan belia.
“Dana yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) ini mula diperkenalkan pada tahun 2024 dan buat pertama kalinya dibuka kepada pertubuhan belia pada tahun ini.
“Melalui inisiatif ini, setiap pertubuhan belia berpeluang memohon geran sehingga RM100,000 tertakluk kepada syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Program Komuniti Sejahtera MADANI (SejaTi MADANI) diwujudkan bagi merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti melalui lima sektor tumpuan utama,” katanya.
Menurutnya, penyertaan dalam program ini juga merupakan antara syarat penting bagi melayakkan pertubuhan belia membuat permohonan geran berkenaan.
-RI





