Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Majlis Berbuka Puasa Gedong Erat Silaturahim Bersama Premier Sarawak

By 9 Mac 2026Mac 10th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Firdaus Hadi (Simunjan)

GEDONG, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Kira-kira 500 penduduk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Daerah Gedong 2026 bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg di Masjid Al-Kawthar Gedong, di sini semalam.

Majlis dimulakan dengan tazkirah Ramadan oleh wakil Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan yang menekankan kepentingan menghayati kelebihan bulan Ramadan serta memupuk ukhuwah dalam kalangan umat Islam.

Pada majlis tersebut, Abang Abdul Rahman Zohari turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf dengan 10 penerima menerima bantuan secara simbolik mewakili keseluruhan 300 penerima di daerah Gedong.

Abang Abdul Rahman Zohari menyampaikan sumbangan Ramadan kepada wakil penerima pada Majlis Berbuka Puasa Daerah Gedong 2026 di Masjid Al-Kawthar Gedong, semalam.

Beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 26 masjid, surau dan madrasah bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan.

Cek replika pampasan pengambilan tanah berjumlah RM6.5 juta turut diserahkan kepada 119 penerima bagi tujuan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan tersebut.

Penduduk, Maharthir Oyak, 45, berkata majlis seperti ini memberi peluang kepada masyarakat berkumpul dan mengeratkan hubungan silaturahim.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat berbuka puasa bersama malah membuka peluang kepada rakyat untuk berinteraksi lebih dekat dengan pemimpin,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Maharthir Oyak memberitahu Majlis Berbuka Puasa bersama Premier Sarawak memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi dengan pemimpin.

Majlis diteruskan dengan jamuan makan malam diikuti solat fardhu Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah sebelum para hadirin menikmati moreh.

Penganjuran majlis berbuka puasa seperti ini dilihat mampu menyemarakkan suasana Ramadan di daerah Gedong selain memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda