
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Aniss Rahin (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Prihatin terhadap golongan yang memerlukan membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri, seorang usahawan muda dari Ajil menganjurkan program pemberian pakaian secara percuma kepada orang ramai di Pekan Kuala Berang.

Lebih 1,000 pakaian yang boleh dipilih dalam satu-satu masa.
Ahmad Faisal Yusop, 30, berkata idea berkenaan tercetus selepas beliau terbaca satu hantaran di media sosial yang bertanyakan lokasi untuk menyalurkan pakaian terpakai di daerah itu.
“Saya terus mengambil keputusan membantu dengan menyediakan ruang kosong di tingkat atas premis perniagaan saya yang terletak bersebelahan Tabung Haji di Pekan Kuala Berang sebagai tempat mengumpul dan mengagihkan pakaian,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Menurutnya, usaha tersebut digerakkan bersama ahli keluarga serta sukarelawan dalam kerja menyusun, mengasing dan memastikan pakaian yang disumbangkan berada dalam keadaan bersih serta masih sesuai dipakai.
Beliau berkata sambutan masyarakat amat menggalakkan apabila ramai tampil menyumbangkan pakaian yang masih elok.

Siti Anasuhah menyambut baik usaha ini kerana membantunya berjimat menyambut Aidilfitri.
“Setakat ini kami telah menerima lebih 5,000 helai pakaian yang diagihkan secara berperingkat kepada orang ramai. Antara sumbangan yang diterima termasuk baju kurung, baju Melayu, pakaian kanak-kanak serta pelbagai pakaian harian,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Siti Anasuhah Namrang, 32, berkata program tersebut sangat membantu dalam menjimatkan perbelanjaan keluarga menjelang Aidilfitri.
“Saya amat teruja kerana kebanyakan pakaian yang disumbangkan masih cantik dan elok dipakai. Usaha seperti ini sangat membantu orang ramai,” katanya.
-RI





