
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Peristiwa agung turunnya al-Quran terus dihayati menerusi Majlis Penghayatan Nuzul al-Quran yang diadakan di Dewan Persidangan, Majlis Daerah Pengkalan Hulu, di sini semalam.

Sebahagian jemputan yang hadir dalam program tersebut.
Majlis tersebut diserikan dengan slot Kuliah Penghayatan Nuzul al-Quran yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Aswad Nason.
Menurut Aswad, program itu dilaksanakan bagi memperingati sejarah penurunan kalam Allah itu, selain menyemarakkan kecintaan umat Islam terhadap kitab suci berkenaan khususnya sepanjang Ramadan.
Beliau berkata penghayatan terhadap al-Quran mampu menjadi kompas atau panduan dalam mendepani cabaran kehidupan moden, sekali gus memperkukuh keimanan dan ketakwaan dalam diri setiap Muslim.
“Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca malah perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Ia merupakan wahana penting membimbing umat Islam menghadapi cabaran semasa dan membentuk jiwa yang dekat dengan Allah. Penghayatan terhadap ajarannya mampu membentuk masyarakat berakhlak mulia,” katanya ketika menyampaikan kuliah tersebut.
Aswad turut menekankan bahawa pemahaman mendalam terhadap isi kandungan al-Quran adalah kunci dalam membina jati diri ummah yang mampan di tengah-tengah arus globalisasi.
-RI





