Skip to main content
Berita TempatanSarawak

PDK Lubok Antu Bantu Murid OKU Bina Keyakinan, Kemahiran Hidup

By 10 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nyempal Inggang/Aileen Madeh Nension (Lubok Antu)

LUBOK ANTU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Lubok Antu membantu memperkasa perkembangan murid berkeperluan khas melalui latihan pemulihan, pendidikan asas dan pembangunan kemahiran hidup.

Program tersebut dilaksanakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Batang Ai bagi memberi peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) meningkatkan kebolehan fizikal, sosial serta komunikasi.

Penubuhan pusat ini turut memudahkan keluarga di kawasan Lubok Antu mendapatkan perkhidmatan pemulihan tanpa perlu ke bandar besar.

Peserta program terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa OKU termasuk autisme, Sindrom Down, masalah pembelajaran serta kecacatan fizikal.

Murid PPDK Batang Ai dibimbing dalam pelbagai aktiviti pelajaran dan latihan kemahiran.

Selain latihan kepada murid, PDK turut membantu ibu bapa memahami kaedah pembelajaran serta penjagaan anak berkeperluan khas.

PPDK Batang Ai diselia oleh Sophia Arong bersama dua tenaga pengajar, Jessica Chen, dan Suria Chunggut Tuking.

Sophia berkata program pemulihan tersebut dijalankan secara berterusan sepanjang tahun mengikut jadual yang ditetapkan.

“Setiap hari persekolahan, murid mengikuti aktiviti pembelajaran, latihan fizikal dan kemahiran sosial bagi membantu perkembangan mereka secara berperingkat,” katanya ketika ditemui di PPDK Batang Ai di sini hari ini.

Sophia berkata pelaksanaan program turut merangkumi latihan motor halus dan kasar, pembelajaran asas membaca dan menulis serta aktiviti sosial bagi meningkatkan keyakinan diri murid.

Sophia Arong bersama murid PPDK Batang Ai selepas se si pembelajaran yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran asas dan keyakinan diri.

“Tenaga pengajar juga memberi bimbingan secara individu mengikut tahap kemampuan setiap murid.”

Sementara itu, Jessica Chen berkata pendekatan pembelajaran yang mesra dan bersesuaian dengan tahap murid membantu mereka memahami pelajaran dengan lebih mudah.

Selain latihan pemulihan, murid berdaftar di PDK turut menerima bantuan elaun bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bantuan tersebut membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan harian serta kos penjagaan anak.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan golongan OKU mendapat sokongan dan peluang untuk berkembang dalam masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda