Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sin Kin Long Martabatkan Kraf Dayak Di Bau Selama Tiga Dekad

By 10 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Felix Harus (Bau)

BAU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Di sebalik keindahan landskap batu kapur dan sejarah perlombongan emas, kedai kraf Sin Kin Long kekal sebagai permata budaya yang memartabatkan seni tradisional Dayak selama lebih 30 tahun.

Desmond Hou menjual pelbagai kraftangan Dayak yang menarik dan unik.

Selepas tiga dekad beroperasi di bangunan lama pekan Bau, Sin Kin Long kini berpindah ke lokasi lebih moden dan strategik di deretan kedai Bau Town District bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung menghayati kehalusan kraf tangan Sarawak dalam suasana lebih teratur.

Penolong Pengurus Kedai, Desmond Hou Chu Hian berkata kedai itu menjadi pusat sehenti bagi pelbagai barangan kraf unik yang dihasilkan oleh penduduk Bau dan luar daerah.

“Kami menerima pelbagai barangan kraf unik yang dihasilkan sendiri oleh penduduk di sekitar Bau mahupun dari luar daerah.

“Ini adalah usaha kami untuk membantu komuniti tempatan menjana pendapatan sambil memastikan seni warisan ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya kepada Malaysia Aktif, hari ini.

Antara produk yang ditawarkan termasuk aksesori manik, busana tradisional, anyaman rotan dan bambu, hiasan seramik serta ukiran yang melambangkan identiti etnik di Borneo.

Dengan pengalaman lebih tiga dekad, Sin Kin Long terus komited menjadi destinasi utama bagi pengunjung yang mencari cenderamata autentik dari daerah Bau.

Keikhlasan pengusaha dalam mengangkat bakat pengukir dan penganyam tempatan menjadikan kedai ini simbol kebanggaan komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda