
Laporan/foto: Allyshia L./Farah Shaherza (Kuantan)
KUANTAN, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Semangat kebersamaan dan keprihatinan jelas terserlah apabila warga kerja jabatan kerajaan di Wisma Persekutuan Kuantan berganding bahu menyediakan dan memasak kuih tradisional onde-onde sempena bulan Ramadan, di sini hari ini.

Antara peserta yang ditugaskan untuk menguli adunan onde-onde.
Program anjuran Jawatankuasa Penyelarasan Penyelenggaraan Bangunan Persekutuan Kuantan itu bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penjawat awam pelbagai jabatan.
Penyelaras Program Yushaida Muhd Yusof, berkata inisiatif seperti ini mampu memupuk nilai kerjasama, semangat kebersamaan serta budaya berkongsi rezeki, selari dengan tuntutan Ramadan yang menekankan amalan kebajikan dan kepedulian terhadap masyarakat.

Kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Pahang juga tidak ketinggalan menyertai program ini.
“Program sebegini bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan di tempat kerja, malah memberi peluang kepada penjawat awam untuk beramah mesra melalui aktiviti yang santai tetapi bermakna,” katanya.
Penjawat awam yang menerima agihan kuih tradisional tersebut turut menyambut baik usaha berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu pendekatan yang mampu merapatkan hubungan antara penjawat awam di Wisma Persekutuan.
Program berkenaan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai antara pengisian Ramadan yang bukan sahaja meriah, malah menyemai nilai perpaduan, kebersamaan dan semangat kekeluargaan.
-RI





