Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Ihya Ramadan Semarakkan Aktiviti Kerohanian SK Sungai Tengas

By 11 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Sekolah Kebangsaan Sungai Tengas menganjurkan Program Ihya Ramadan sepanjang bulan Ramadan bagi mengimarahkan bulan mulia itu melalui pelbagai aktiviti kerohanian serta pertandingan yang melibatkan penyertaan murid-murid, sekali gus memupuk minat mereka terhadap amalan keagamaan.

Pelbagai aktiviti keagamaan , termasuklah Pertandingan Hafazan juga diadakan sempena Program Ihya Ramadan

Penyelaras Program Norhamiza Jaafar, berkata pelbagai pengisian telah dirancang bagi memberi peluang kepada murid-murid menghayati keindahan dan keberkatan bulan Ramadan yang penuh rahmat.

Menurutnya, antara aktiviti yang dianjurkan termasuk pertandingan hafazan, bacaan dan alunan ayat suci al-Quran serta pertandingan paling kreatif membina replika masjid yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para murid.

Beliau berkata program berkenaan merupakan cetusan idea guru besar sekolah Ghazali Hasan, yang sentiasa memberi galakan serta pembaharuan melalui idea kreatif dalam usaha memupuk minat murid terhadap aktiviti keagamaan.

Amni Zamri murid tahun 6 yang berjaya memenangi hati juri mendapat tempat pertama pertandingan reka cipta masjid

“Melalui program ini, murid bukan sahaja dapat menyertai aktiviti berbentuk pertandingan, malah berpeluang menghayati nilai-nilai murni dan semangat Ramadan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pemenang pertandingan membina replika masjid, Amni Zamri, 12, berkata beliau menghasilkan replika tersebut menggunakan bahan kitar semula dengan usaha sendiri serta bimbingan daripada keluarganya.

“Saya sangat gembira kerana dapat menyiapkan replika masjid ini dan tidak sangka dapat memenangi pertandingan,” katanya.

Program Ihya Ramadan ini diharapkan dapat memberi pendedahan bermakna kepada murid-murid mengenai kepentingan mengimarahkan bulan Ramadan dengan amalan berfaedah, di samping memupuk nilai kerjasama, kreativiti dan kecintaan terhadap ibadah dalam kalangan warga sekolah.

-AA-

Tinggalkan komen anda