
Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)
JERANTUT, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan pembayaran dividen unit ladang Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) yang mencecah jumlah keseluruhan RM30.62 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, susulan prestasi kewangan luar biasa yang dicatatkan koperasi tersebut.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di sini semalam, berkata kerajaan negeri amat berbangga dengan pencapaian cemerlang KOSMA yang berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM177.63 juta pada tahun lepas, berbanding RM134.17 juta pada tahun sebelumnya.

Sidang media bersama Menteri Besar Pahang.
Menurutnya, peningkatan tersebut dipacu oleh pendapatan ladang yang melonjak kepada RM273.13 juta, sekali gus menyaksikan prestasi tahun 2025 sebagai yang terbaik sejak penubuhan koperasi berkenaan.
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri Mohamed serta barisan Ahli Lembaga Pengarah dan seluruh warga KOSMA atas kejayaan ini. Semoga KOSMA terus maju jaya dan menjadi contoh kepada koperasi-koperasi yang lain di Malaysia,” katanya.
Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, seramai 1,494 orang anggota bakal menerima pendahuluan dividen sebanyak satu unit ladang yang bernilai RM6,000, iaitu peningkatan sebanyak RM500 berbanding RM5,500 yang dibayar pada tahun 2024.
Selain itu, setiap anggota turut akan menerima Bonus Raya sebanyak RM2,000 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.986 juta.
Wan Rosdy turut menzahirkan harapan agar agihan keuntungan ini dapat membantu meringankan beban kewangan para anggota dalam membuat persiapan menyambut lebaran nanti.
“Kerajaan negeri Pahang percaya dengan pengagihan unit ladang dan bonus raya ini akan dapat meringankan beban seluruh anggota KOSMA dalam melakukan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Bagi baki dividen unit ladang, pembayaran akan dilakukan selepas Mesyuarat Agung Tahunan KOSMA pada 20 Jun ini manakala dividen modal syer akan dibayar sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
-RI





