
Laporan/foto: Fatihayatul Sadi/Amiruddin Adli (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Bantuan Aidilfitri 1447H kepada golongan fakir miskin dan pelajar sekolah di Istana Syarqiyyah, semalam.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan ketika ditemu bual pihak media.
Majlis anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah itu bertujuan membantu golongan sasar membuat persiapan menjelang sambutan hari lebaran yang bakal tiba.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban serta cabaran hidup yang dihadapi oleh kumpulan penerima.
“Pada tahun ini, seramai 200 fakir miskin yang terdiri daripada 100 lelaki dan 100 wanita dari seluruh daerah di Terengganu telah dipilih untuk menerima kurniaan tersebut.

Rohani dari Kampung Masjid Haji Kadir.
“Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada penerima asnaf lain termasuk pengusaha bot penambang, penarik beca, pesara polis serta bidan atau jururawat masyarakat yang banyak berjasa kepada komuniti setempat,” katanya.
Salah seorang penerima, Rohani Mohamad, 55, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan pihak istana dan yayasan yang sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan harian keluarganya menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
-RI





