
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
KUALA NERUS, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencetak sebanyak 5,000 naskhah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin untuk diagihkan kepada 20 universiti awam.

Prof. Ts. Dr. Zamri Ibrahim menyampaikan ucapan di Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Sultan Mizan, UMT.
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Ts. Dr. Zamri Ibrahim berkata 1,600 naskhah lagi dihibahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diedarkan ke seluruh negara melalui program Jom Exchange Quran.
Beliau berkata saban tahun ribuan mushaf al-Quran tanpa perakuan telah disita oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN.
“Penggunaan mushaf yang tidak diperakui boleh membawa kepada kesalahan dalam membaca Kalam Allah yang Maha Suci. Sehubungan itu, UMT bersama Etiqa Family Takaful Berhad menyahut kempen KDN ‘Ke Arah Sifar Al-Quran Tanpa Perakuan’ bagi memastikan masyarakat menggunakan mushaf yang sahih dan diperakui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Sultan Mizan, UMT, di sini kelmarin.
Majlis anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad itu telah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda dalam titahnya turut menzahirkan sokongan berterusan institusi diraja dalam usaha memartabatkan al-Quran sebagai panduan dalam pembangunan ummah.
-RI





