
Laporan/Foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)
NABAWAN, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Surau Al-Hidayah di Kampung Tinanduk yang terjejas akibat banjir pada akhir Februari dibersihkan dengan bantuan lebih 200 sukarelawan menerusi Program Ihya’ Ramadan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Nabawan.
Program itu turut dijayakan bersama JAKIM Sabah bagi memulihkan keadaan surau yang dipenuhi lumpur tebal serta mengasingkan peralatan yang rosak akibat banjir.
Pengerusi Surau Al-Hidayah, Agus Parisah berkata surau perlu dibersihkan segera bagi membolehkan penduduk menjalankan ibadah dan aktiviti komuniti.
“Banyak peralatan rosak dan tidak dapat diselamatkan, namun kami bersyukur kerana pihak JAKIM dan sukarelawan membantu memulihkan surau,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Beliau berkata peralatan elektrik yang disumbangkan seperti tikar, kipas dan lampu amat bermakna kepada penduduk, khususnya di kawasan pedalaman.
Wakil Kelab Rakan Muda Nabawan, Salman Raspin berkata penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan penting kerana memupuk semangat bekerjasama dan keprihatinan masyarakat.
“Golongan muda digalakkan menyumbang tenaga walaupun berpuasa, selain memupuk tanggungjawab dan hubungan positif dengan masyarakat,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Skuad Anti Dadah Nabawan, Karan Wahid berkata program seumpama ini membantu mengisi masa lapang belia dengan aktiviti positif dan menjauhkan mereka daripada gejala sosial.
Antara yang terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pelajar Kelas Bimbingan Saudara Kita (KBSK), guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Tinanduk dan Sekolah Menengah Kebangsaan Nabawan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Penerangan Malaysia, Skuad Anti Dadah, Pasukan Ragbi Nabawan, Pasukan Kebajikan Kanak-kanak serta Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS).
Selain gotong-royong, program turut diisi dengan penyerahan peralatan surau, majlis iftar bersama penduduk, tazkirah Ramadan, penyerahan bakul makanan serta solat Tarawih berjemaah.
-RJ-





