
Laporan/foto: Marshita/Haziqah Nabilah (Kerian)
PARIT BUNTAR, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Program World #QuranHour anjuran Perpustakaan Awam Cawangan Parit Buntar berjaya menghimpunkan pelajar GIATMARA Parit Buntar dalam usaha menyemai kecintaan terhadap al-Quran serta menggalakkan penghayatan kitab suci tersebut dalam kehidupan seharian.

Sesi tadabbur bersama Ustazah Shofiah Yaacob.
Program yang berlangsung selama satu jam itu diisi dengan aktiviti tadabbur al-Quran bersama Ustazah Shofiah Yaacob yang mengetengahkan tajuk ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’ berpandukan Surah al-Muzzammil.
Menurut Shofiah, surah ke-73 yang mengandungi 20 ayat ini menekankan kepentingan pembangunan rohani, kekuatan jiwa serta disiplin ibadah sebagai asas membina peribadi dan masyarakat yang sejahtera.
“Surah al-Muzzammil mengandungi mesej penting mengenai kepentingan qiamullail, kesabaran dalam berdakwah serta kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Penyampaian cenderahati kepada Ustazah Shofiah.
“Pendekatan tadabbur ayat-ayat ini diharap dapat menyuntik kesedaran untuk memperkukuh akhlak dan integriti diri para peserta dalam pelbagai lapangan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, di sini kelmarin.
Tambahnya, program seperti ini bukan sahaja menggalakkan budaya membaca al-Quran, malah menjadi platform terbaik mendidik generasi muda supaya lebih dekat dengan ajaran Islam.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu tular baru-baru ini berkaitan tindakan menghina al-Quran di media sosial yang dianggap amat mengguris hati umat Islam.
Katanya, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memelihara kesucian kitab suci tersebut.
-RI





