
Laporan/foto: Zolkaiza Muhamad/Fikri Johari (LMS)
SIMPANG, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Diraja bersama rakyat di Masjid Ikhwaniah, di sini kelmarin.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Keberangkatan tiba Raja Muda Perak ke Masjid Ikhwaniah, Simpang.
Baginda berkenan berbuka puasa bersama lebih 800 hadirin yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pemimpin tempatan, pelajar tahfiz dan orang awam sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang Mohd Kamaruddin Abu Bakar, ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan teruja atas keberangkatan baginda ke kawasan tersebut.
“Saya berasa sangat bersyukur dan teruja kerana Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda memilih kawasan Simpang untuk Tuanku menyantuni dan berbuka puasa bersama masyarakat setempat.
“Kehadiran baginda mencerminkan kedekatan institusi diraja dengan rakyat, terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Baginda seterusnya berkenan menunaikan solat Isyak, solat tarawih serta majlis moreh.
Program ini merupakan jelajah kedua Raja Muda Perak bagi program berbuka puasa bersama rakyat sempena bulan Ramadan 1447H.
-RI





