
Laporan/foto: Ahmad Faisal/Salina (Perak Tengah)
KAMPONG GAJAH, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Buah kanto yang dijual di Kampung Pulau Juar di sini menjadi antara menu tradisi yang sentiasa dicari peminat sepanjang bulan Ramadan sehingga sering habis terjual setiap hari.
Peniaga Abu Bakar Zainal Abidin, 42, berkata jualan buah kanto yang diusahakannya mendapat sambutan menggalakkan khususnya ketika Ramadan apabila pembeli datang dari pelbagai kawasan untuk mendapatkannya.

Buah kanto yang dijual terdapat pelbagai perisa untuk dipilih oleh pembeli.
Menurutnya, buah kanto dijual pada harga RM4 bagi satu bekas manakala RM8 bagi sekilogram dengan pelbagai pilihan perisa seperti sirap, laici, anggur dan juga perisa asli.
“Setiap hari memang habis terjual. Ada juga pembeli dari Teluk Intan yang sanggup datang ke Kampung Pulau Juar semata-mata untuk membeli buah kanto,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Juar, di sini semalam.
Buah kanto yang juga dikenali sebagai buah kabung diperoleh daripada pokok kabung yang seakan-akan pokok palma. Buah tersebut perlu dimasak terlebih dahulu sebelum direndam dan dijual kepada pelanggan.
Abu Bakar berkata walaupun buah kanto turut dijual pada bulan biasa, sambutan yang diterima tidak sama seperti ketika Ramadan kerana jumlah pembeli jauh berkurangan.

Zairul Afendi membeli buah kanto untuk hidangan ketika berbuka puasa bersama dengan keluarganya.
Sementara itu, pembeli, Zairul Afendi Abdul Pantas, 39, berkata menjadi tradisi baginya setiap tahun membeli buah kanto untuk dinikmati bersama keluarga.
Katanya, buah kanto yang dimakan sejuk selepas berbuka puasa bukan sahaja menyegarkan badan malah menjadi kegemaran ahli keluarganya.
Beliau berharap jualan buah kanto terus dikekalkan sebagai tradisi dan simbolik makanan tempatan di daerah Perak Tengah.
-RI





