Skip to main content
Berita TempatanSabah

BKK RM500 Ceriakan Persiapan Raya Penjawat Awam

By 12 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Penjawat awam di sekitar Kota Kinabalu menyambut baik pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM500 yang dilihat dapat meringankan beban persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Nurfatin menyambut baik Bantuan Khas Kewangan RM500 sempena Hari Raya Aidilfitri yang membantu penjawat awam membuat persiapan perayaan.

Penjawat awam, Nurfatin Mohammed Yunus, 26, berkata bantuan tersebut amat dihargai terutama dalam keadaan ekonomi semasa serta membantu isi rumah menguruskan perbelanjaan dengan berhemah.

“Pertama sekali bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan RM500,” katanya ketika ditemui di ITCC, di sini pada Rabu.

Nurfatin berkata sedikit sebanyak bantuan itu dapat membantu persiapan perayaan termasuk membeli keperluan dan kelengkapan Hari Raya.

Beliau berharap bantuan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu penjawat awam menghadapi kos sara hidup.

Sementara itu, Abd. Hasif Walimi, 26, berkata bantuan berkenaan sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan untuk membeli keperluan asas menjelang Aidilfitri.

“Sedikit sebanyak ia dapat membantu keperluan harian dan persiapan perayaan seperti membeli baju raya, kuih-muih dan kelengkapan lain,” katanya.

Abd. Hasif berharap penerima menggunakan bantuan dengan berhemah serta kerajaan dapat mempertimbangkan peningkatan jumlah bantuan pada masa hadapan bagi golongan berpendapatan rendah.

Untuk rekod, Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan disalurkan esok kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah termasuk kakitangan lantikan kontrak serta lebih 120,000 penjawat awam persekutuan yang bertugas di Sabah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda