
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Kebanjiran pelbagai jenis kuih moden dengan dekorasi lebih menarik dan pelbagai pilihan warna tidak menggugat legasi kuih tradisional yang diusahakan sejak sekian lama.
Malah, kuih tradisional mampu bertahan sehingga kini biarpun hanya dengan berlandaskan resipi turun-temurun keluarga tanpa perlu banyak pengubahsuaian.

Pak Lias sedang menyiapkan tempahan pelanggan.
Menurut usahawan kuih bahulu, Alias Hashim, 60, kuih berkenaan terus menjadi pilihan masyarakat sebagai hidangan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan permintaannya meningkat setiap kali menjelang musim perayaan meskipun dikatakan kurang diminati golongan muda.
“Tempahan bahulu biasanya meningkat beberapa minggu sebelum Aidilfitri apabila ramai pelanggan mula membuat tempahan awal untuk dijadikan hidangan kepada tetamu. Kami tidak menang tangan menyiapkan tempahan daripada pelanggan sekitar daerah ini serta kawasan berhampiran.
“Bahulu memang antara kuih tradisional yang tidak pernah dilupakan setiap kali Aidilfitri. Ramai pelanggan membuat tempahan kerana rasanya yang lembut dan sesuai dijadikan hidangan kepada tetamu serta tak lapuk ditelan zaman” katanya ketika ditemui di Kampung Selarong Hujung, di sini kelmarin.

Bahulu kuih tradisi yang tak lapul ditelan zaman.
Beliau yang telah mengusahakan perniagaan itu selama 10 tahun berkata kualiti bahulu yang dihasilkan tetap dikekalkan bagi memastikan keaslian rasanya meskipun berdepan peningkatan permintaan.
“Sewaktu menikmati kuih lagenda ini, pasti kita terbayang kemeriahan raya dan kenangan silam bersengkang mata menolong ibu dan nenek menyiapkan kuih berkenaan,” jelas usahawan bimbingan Jabatan Pertanian ini lagi.
“Jabatan Pertanian banyak membantu meningkatkan kemahiran serta memperkasa usaha pengeluaran kuih tradisional tersebut disamping bantuan alatan seperti ketuhar serta mesin pengadun,” katanya.
-RI






