
Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/KPDN WPKL
KUALA LUMPUR, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Program Santuni Komuniti Ihsan Food Bank (i-FB), kelmarin sebagai langkah proaktif mendekati golongan gelandangan serta menghargai jasa petugas barisan hadapan di ibu kota.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada Inisiatif i-FB yang berteraskan tiga objektif utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.

Armizan membuat agihan makanan kepada golongan gelandangan.
Inisiatif ini juga bertujuan menangani isu pembaziran makanan yang serius di Malaysia.
Berdasarkan statistik SWCorp, rakyat Malaysia menghasilkan anggaran 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari, di mana 4,000 tan metrik daripadanya sebenarnya berpotensi untuk diselamatkan dan dimanfaatkan.
Dalam program tersebut sumbangan pek makanan termasuk makanan retort, makanan dalam tin dan barangan kering telah diagihkan kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Armizan membuat agihan kepada anggota di Jabatan Bomba dan Penyelamat Sentul.
“Sumbangan ini adalah tanda penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang sentiasa bertugas demi keselamatan rakyat. Selain itu agihan makanan turut dilakukan kepada golongan gelandangan bagi menyantuni mereka yang memerlukan khususnya dalam bulan Ramadan ini,” katanya.
Pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan yang berminat untuk menyertai atau menyumbang kepada Inisiatif i-FB boleh menghubungi Sekretariat Ihsan Food Bank di Ibu Pejabat KPDN atau Pejabat KPDN Negeri.
-RI





