Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Krisis Asia Barat: PM Anwar Minta KSN, KPPA Teliti Cadangan BDR

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam.

“Beberapa ikhtiar sedang diteliti, Yang Berhormat Perdana Menteri telah minta supaya Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti cadangan Bekerja Dari Rumah atau work from home untuk pastikan beberapa perkara terselaras,” kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian di Sidang Media pasca Mesyuarat Kabinet Khas, di sini hari ini.

Sidang media tersebut turut dihadiri Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Katanya lagi, hasil daripada perbincangan itu akan dibawa untuk diputuskan dalam mesyuarat yang akan diadakan Selasa depan.

Beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina sebelum ini terlebih dahulu mengumumkan pelaksanaan BDR bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hybrid susulan konflik di Asia Barat.

Menurutnya lagi, Anwar turut mengarahkan semua kementerian melakukan sesi libat urus dengan pihak industri untuk mendapatkan maklum balas, pandangan, dapatan dan kesan yang mungkin dirasai akibat pergolakan yang sedang berlaku.

Mesyuarat Kabinet Khas Jemaah Menteri yang diadakan pada hari ini bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi yang terkait dengan konflik Iran, Amerika Syarikat dan Israel di rantau Asia Barat.

-FN

Tinggalkan komen anda