
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang semalam meninjau perkembangan projek pembinaan Jambatan Selampit bagi mendapatkan gambaran terkini serta penjelasan daripada pihak pelaksana berhubung kelewatan projek berkenaan.
Lawatan ke tapak projek itu memberi ruang kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor menjelaskan beberapa faktor yang menjejaskan kemajuan pembinaan.
Antara faktor yang dikenal pasti termasuk keperluan reka bentuk semula struktur dan tapak jambatan, kajian semula keadaan tanah serta cabaran faktor alam sekitar seperti banjir dan paras air tinggi di kawasan pembinaan.

ADUN Opar, Billy Sujang menunjukkan perkembangan projek pembinaan Jambatan Selampit kepada Rubiah.
Selain itu, kelewatan penyaluran dana daripada Kerajaan Persekutuan turut memberi kesan kepada kelancaran pembayaran kepada kontraktor sekali gus menjejaskan jadual pelaksanaan projek.
Projek Jambatan Selampit kini disasarkan siap pada November 2026 dan dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Selampit khususnya dalam meningkatkan akses perhubungan serta merancakkan aktiviti sosioekonomi setempat.
Rubiah berharap pihak kontraktor bersama JKR Sarawak dapat mempercepatkan kerja pembinaan agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang telah ditetapkan.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah ADUN Opar Billy Sujang, Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Mohd Syafiq Anas Abdullah, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, wakil agensi pelaksana, ketua masyarakat, ketua kaum serta penduduk kampung.
-RJ-





