Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Galeri Rumah Sri Aman ‘Arkib Hidup’ Sejarah Sarawak

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Iswandi Kassim / Fakhri Zhafran

SRI AMAN, 13 Mac (MalaysiaAktif) — Pengalaman berkunjung ke Galeri Rumah Sri Aman meninggalkan kesan mendalam terhadap para pelawat, khususnya dalam menghayati nilai keamanan yang dikecapi Sarawak hari ini.

Seorang pelawat, Julkipli Mahmud, menyifatkan galeri yang dahulunya dikenali sebagai Rumah Segi Lapan itu bukan sekadar sebuah bangunan bersejarah, malah merupakan sebuah “arkib hidup” yang menceritakan pengorbanan generasi terdahulu.

Mengulas mengenai pengalamannya, Julkipli berkata keputusannya untuk melawat galeri tersebut memberikan perspektif baharu mengenai peristiwa Deklarasi Sri Aman 1973 yang menamatkan ancaman komunis di Sarawak.

“Apabila melangkah masuk ke sini, kita seolah-olah dibawa kembali ke zaman pemberontakan itu.

“Melihat sendiri ruang di mana memorandum persefahaman ditandatangani antara Kerajaan Sarawak dan Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) membuatkan saya sedar betapa mahalnya harga sebuah keamanan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau turut memuji pembahagian empat tema utama pameran iaitu Rumah Di Atas Bukit, Era Rajah Putih, Warisan Perang dan Keamanan, serta Rising Tide yang disusun dengan kemas dan mudah difahami oleh pengunjung, terutama generasi muda.

Selain aspek sejarah, Julkipli turut mengagumi keunikan seni bina bangunan yang dibina sejak era Rajah Charles Vyner Brooke itu.

“Seni bina segi lapan ini sangat unik dan jarang ditemui. Usaha kerajaan mewartakan rumah ini di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 adalah langkah tepat supaya identiti asal bangunan ini tidak ditelan zaman,” tambahnya.

Julkipli turut menyarankan agar lebih ramai golongan muda, khususnya pelajar sekolah dan universiti, datang melawat galeri ini bagi mendalami sejarah pembentukan negeri Sarawak yang stabil dan harmoni.

“Mungkin ramai yang tidak tahu tentang perintah berkurung atau kesukaran hidup zaman dahulu. Di sini, segala-galanya dipaparkan dengan jelas. Ia adalah satu destinasi wajib jika berkunjung ke Bandar Simanggang,” ujarnya.

Sejak pembukaannya, galeri ini telah menarik ribuan pelawat dari dalam dan luar negara sekali gus memperkukuhkan kedudukan Bandar Simanggang sebagai destinasi pelancongan berteraskan sejarah di wilayah ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda