Skip to main content
Berita TempatanLabuan

17 Pelajar Labuan Terima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang MAIWP

By 14 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/MAIWP Labuan

LABUAN, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Para penerima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) amat bersyukur dengan bantuan itu kerana dapat lebih fokus dan tenang semasa melanjutkan pengajian.

Mohd Rafie (paling kiri) menyampaikan cek cura kepada wakil penerima Insentif Khas Pelajar Cemerlang MAIWP

Salah seorang penerima, Nur Erdina Raiquisha Mohd Mardi, 22 turut berasa syukur terpilih untuk menerima bantuan biasiswa tersebut.

“Pertama kali saya bersyukur dan berterima kasih atas bantuan ini kerana ia sangat membantu dalam pembelajaran dan saya tidak perlu memikirkan tentang beban kewangan semasa melanjutkan pelajaran.

“Saya harap akan lebih fokus dalam pembelajaran dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat di masa akan datang,” katanya semasa ditemui media selepas majlis penyampaian biasiswa itu di sini kelmarin.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak MAIWP dan para pembayar zakat di luar sana yang banyak membantu masyarakat yang memerlukan perhatian seperti golongan pelajar sepertinya.

Bapa beliau, Mohd Mardi Mani, 49 turut menzahirkan perasaan yang sama atas pemberian biasiswa pendidikan yang diterima anaknya.

Nur Erdina (kanan) bersama ayahnya Mohd Mardi ceria menerima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang MAIWP

“Syukur dan terima kasih kepada MAIWP yang menjalankan tanggungjawab menjaga ekonomi dan sosial di Labuan dan saya harap para penerima biasiswa ini boleh menjadi contoh kepada pelajar lain,” katanya.

Sementara itu, MAIWP Cawangan Labuan dalam satu kenyataan berkata seramai 17 orang penerima dari Labuan terpilih untuk menerima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang MAIWP bermula sesi 2025/2026.

“Kadar biasiswa diberikan berdasarkan kos yuran pengajian semasa di Institut Pengajian Tinggi berkaitan termasuk elaun sara diri, yuran penginapan dan bahan bacaan mengikut keperluan yang ditetapkan oleh JPA serta keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Skim Biasiswa MAIWP.

“Jumlah keseluruhan biasiswa yang disalurkan kepada 17 penerima adalah sebanyak RM578,914.20 dan biasiswa ini diberikan kepada pelajar sepanjang pengajian mengikut kadar yang telah diluluskan dan akan diterima pada setiap semester pengajian,” menurut kenyataan itu lagi.

Simbolik penyampaian biasiswa tersebut disempurnakan oleh Pengurus MAIWP Cawangan Labuan, Mohd Rafie Zakaria.

-AA-

Tinggalkan komen anda