
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Penggunaan dialek tempatan menjadi nadi keberkesanan penyampaian mesej dalam Program Ziarah Ramadan Saudara Kita di Kampung Gayau Jasa apabila majlis perkongsian ilmu disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Iban oleh Eksekutif C Majlis Islam Sarawak, Yakub Abdullah.
Langkah itu diambil bagi memastikan pengisian mengenai pengukuhan akidah dan ibrah ibadah puasa dapat dihayati dengan lebih mendalam oleh penduduk kampung yang majoritinya berbangsa Iban.
Yakub Abdullah menjelaskan bahawa penggunaan bahasa ibunda adalah elemen penting untuk memastikan mesej Islam sampai ke hati nurani penduduk tanpa sebarang kekangan bahasa.

Rombongan Pejabat Agama Islam, USK Sri Aman dan JAIS bergambar kenangan bersama komuniti saudara baharu Kampung Gayau Jasa selepas penyerahan sumbangan dan majlis berbuka puasa.
“Penyampaian dalam bahasa ibunda bukan sahaja memudahkan pemahaman, malah ia menyentuh jiwa sanubari saudara baharu kita dan sebahagian daripada usaha membina jambatan rasa serta memperkukuh keyakinan mereka terhadap nilai Islam,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat untuk terus cakna dan prihatin terhadap golongan mualaf melangkaui bulan Ramadan, terutama dalam menyediakan sistem sokongan komuniti yang kukuh.
Program anjuran Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) turut disertai komuniti bukan Islam secara harmoni, dengan pengisian rohani dan aspek kebajikan diberi keutamaan melalui penyampaian bakul makanan kepada 30 orang saudara baharu yang memerlukan.
Wakil Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Mohd Khalid Hafeez Mohd Nazir berkata inisiatif kebajikan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab agensi untuk memastikan golongan saudara kita tidak merasa terpinggir sepanjang bulan mulia ini.
Beliau berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban harian dan memberikan sinar kegembiraan kepada penerima.
Program diakhiri dengan solat berjemaah di Surau al-Gayauwi serta penyerahan Al-Quran Mushaf Waqaf sebagai usaha berterusan mengimarahkan aktiviti keagamaan di kampung berkenaan.
-RJ-





