
Laporan/foto: Aini
KANGAR, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Konsep fotografi raya yang menampilkan suasana elegan, mewah dan berprestij kini menjadi pilihan keluarga yang ingin merakam kenangan Aidilfitri dalam suasana yang lebih eksklusif.
Di Perlis, antara yang menjadi perhatian ialah studio raya berkonsepkan “Royal Classic Baroque” di The Portret Studio Kangar di Medan Niaga Padang Behor yang menampilkan suasana seakan ruang tamu istana dengan elemen dekorasi klasik dan eksklusif.
Pemilik studio, Mohamad Sazriman Parman, 33, berkata konsep studio raya itu mula diperkenalkan sejak 2022 dan setiap tahun beliau tampil dengan idea berbeza seperti moden, klasik dan barok bagi memberi kelainan kepada pelanggan.
“Pada peringkat awal sekitar tahun 2022, kami hanya menerima sekitar 20 hingga 30 tempahan sahaja, namun jumlah itu meningkat kepada kira-kira 200 tempahan pada tahun 2025 dan hampir mencecah jumlah yang sama pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di studionya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata cabaran utama sebagai jurugambar adalah untuk menghidupkan ekspresi dan suasana dalam gambar agar setiap rakaman kelihatan lebih natural dan bermakna.
“Tempahan bagi hari raya pertama sudah penuh, manakala masih terdapat beberapa slot kekosongan bagi hari raya kedua dan ketiga,” katanya.
-FN





