
Laporan/foto: Aini
KANGAR, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Keenakan kek lapis Sarawak yang terkenal dengan corak lapisan berwarna-warni dan tekstur lembut kini boleh dinikmati oleh masyarakat di Perlis apabila ia disediakan secara segar di Amoy Kopitiam menggunakan resipi asli dari Sarawak bagi memastikan rasa serta kualitinya sentiasa terpelihara.
Pemilik Amoy Kopitiam, Siti Aishah Setu, 37, berkata setiap hari beberapa jenis kek lapis premium dibakar segar dengan pelbagai perisa bagi memberi pilihan kepada pelanggan menikmati variasi rasa yang berbeza.
“Antara kek lapis premium versi bakar yang menjadi pilihan pelanggan ialah Masam Manis, Creamy Horlick, Pure Cheese, Volcano Coffee, Lapis Horlick, Triple Cookies, Nutella Red Velvet, Pua Kumbu, Choc Fudge dan Lapis India,” katanya ketika ditemui di Amoy Kopitiam, di sini pada Rabu.
Beliau berkata kek lapis tersebut ditawarkan dalam beberapa pilihan saiz termasuk loaf, setengah loyang dan seloyang penuh yang sesuai dinikmati bersama keluarga atau dijadikan hidangan ketika berkumpul.
Selain kek lapis Sarawak, Amoy Kopitiam turut menyediakan kek kukus premium seperti Belacan, Lumut, Lumut Cheese, Horlick dan Holiday Inn, selain kek bajet berharga RM18 dengan pilihan perisa antaranya Masam Manis, Blueberry Cheese, Coffee, Berries, Mango Cheese, Double Choc, Rainbow Cheese dan Coconut Pandan.
Menurut Siti Aishah, sambutan pelanggan terhadap kek lapis Sarawak di Perlis semakin menggalakkan kerana ramai yang ingin menikmati kek tersebut dalam keadaan segar tanpa perlu mendapatkannya dari luar negeri, justeru kek sentiasa ditambah dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggan memperoleh kek yang baru disediakan setiap hari.
-FN





