
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Program Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Ramadan yang diadakan di Surau Al Hidayah, Kampung Permatang Pauh, di sini semalam, berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat setempat yang hadir memeriahkan majlis serta menerima sumbangan sempena bulan Ramadan.

Mohammad Fakharuddin turut menitipkan nasihat buat hadirin untuk berbelanja secara berhemah sempena sambutan perayaan ini
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pahang Go Sdn. Bhd. itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang turut meluangkan masa menyantuni penduduk kampung serta para penerima sumbangan.
Dalam ucapannya, Mohammad Fakhruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, berkata program seumpama ini merupakan usaha berterusan bagi menyantuni golongan yang memerlukan di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Sebahagian penerima sumbangan yang hadir
“Program kebajikan seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan, malah mengukuhkan semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Dalam masa yang sama saya meminta kita semua supaya sentiasa bersyukur dengan limpahan rezeki dari Allah Ta’ala,” katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 40 penerima menerima sumbangan cek Kerajaan Negeri Pahang, manakala 21 anak yatim, 15 warga emas serta beberapa mangsa bencana alam turut menerima sumbangan Ramadan dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM132,617.
Majlis kemudian diteruskan dengan berbuka puasa bersama para jemaah sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di surau berkenaan.
-AA-





