Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Inisiatif Meh Balik Kampus 2026 Ringankan Beban Mahasiswa Anak Johor

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Facebook Aznan Tamin

JOHOR BAHRU, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM1.4 juta bagi menjayakan inisiatif ‘Meh Balik Kampus 2026’ sebagai usaha meringankan beban mahasiswa kelahiran negeri itu pulang ke institusi pengajian tinggi (IPT) selepas sambutan Aidilfitri kelak.

Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi menjayakan inisiatif Meh Balik Kampus 2026 sebagai usaha meringankan beban mahasiswa anak Johor

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Negeri Aznan Tamin berkata inisiatif tersebut yang diperkenalkan di bawah Teras 3: Orang Muda Johor menerusi Belanjawan Johor 2026 merupakan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mahasiswa.

Menariknya, beliau berkata buat julung kali tahun ini, kerajaan negeri memperkenalkan bantuan tiket penerbangan khas yang disasarkan khusus buat anak Johor yang menuntut di Sabah dan Sarawak.

“Kita memahami perjalanan menuntut ilmu bukan sahaja memerlukan semangat, tetapi juga sokongan yang berterusan. Bantuan ini diharap dapat memudahkan urusan mereka yang berada jauh di perantauan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Inisiatif Pengangkutan Percuma Mahasiswa Johor Pulang ke Kampus menggunakan bas turut diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini

Selain bantuan penerbangan udara, Aznan menjelaskan bahawa Inisiatif Pengangkutan Percuma Mahasiswa Johor Pulang ke Kampus menggunakan bas turut diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Aznan, program penyediaan bas percuma tersebut dilaksanakan dengan kerjasama erat pihak Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan (GAJ).

“Usaha tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pentadbiran negeri bagi memastikan golongan mahasiswa sentiasa diberi perhatian dan sokongan sewajarnya sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda