
Laporan/foto: Intan Saziana/Ruban (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Program berbuka puasa bersama komuniti yang dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni di Masjid Kampung Raja, di sini semalam.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir
Majlis tersebut menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk ketua jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin komuniti serta penduduk setempat bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin negeri dan rakyat.
Menurut Wan Rosdy, minggu ini merupakan minggu terakhir umat Islam menjalani ibadah puasa dan program seumpama itu bukan sahaja memberi peluang berkongsi rezeki berbuka puasa, malah menjadi platform merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan masyarakat.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan memelihara perpaduan kaum, kestabilan politik serta keharmonian masyarakat demi kesejahteraan negeri dan negara.

Suasana sekitar Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Raja
“Majlis seperti ini membuka ruang kepada pemimpin untuk mendekati rakyat serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Pada majlis yang sama turut berlangsung penyerahan sumbangan termasuk cek bantuan Kerajaan Negeri Pahang, replika kunci Rumah Rakyat Pahang kepada penerima yang layak serta bakul makanan kepada golongan memerlukan bagi membantu meringankan beban rakyat.
Majlis berakhir dengan solat Maghrib berjemaah serta sesi ramah mesra antara pemimpin dan komuniti setempat.
-AA-





