
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Norhafizah Abd Rahim (Marang)
MARANG, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Konflik yang berlaku di Timur Tengah ketika ini tidak mencetuskan pembelian panik dalam kalangan masyarakat tempatan apabila orang ramai dilihat terus membeli barangan keperluan secara normal di kedai runcit dan pasar raya sekitar daerah ini.
Tinjauan mendapati bekalan barangan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung masih mencukupi, malah kebanyakan pengguna hanya membeli mengikut keperluan harian tanpa melakukan pembelian secara berlebihan.

Nor Syafieka Zainuddin berkata bekalan barangan asas di kedai runcit masih mencukupi dan pembelian pelanggan berjalan seperti biasa walaupun konflik di Asia Tenggara diperkatakan
Pekerja kedai runcit, Nor Syafieka Zainuddin berkata setakat ini tiada peningkatan mendadak dalam pembelian barangan asas walaupun terdapat pelbagai maklumat berkaitan konflik di Timur Tengah yang tular di media sosial.
Menurutnya, situasi di kedai masih berjalan seperti biasa dengan pelanggan membeli barangan keperluan harian dalam kuantiti normal.
“Setakat ini keadaan pembelian masih terkawal. Pelanggan datang membeli seperti biasa dan tidak berlaku pembelian dalam jumlah yang banyak seperti yang dibimbangkan.
“Walaupun ada maklumat di media sosial yang memperkatakan kemungkinan kenaikan harga makanan atau gangguan bekalan susulan konflik di Timur Tengah, orang ramai dilihat masih bertenang dan membeli secara terkawal,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai runcit di sini.

Mohd Syafik Ali menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik dan hanya membeli barangan mengikut keperluan
Sementara itu, orang awam, Mohd Syafik Ali, 32, berkata masyarakat perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang boleh mencetuskan kebimbangan.
Beliau berkata tindakan membeli barangan secara panik hanya akan menimbulkan kesulitan kepada pengguna lain selain berpotensi mengganggu kestabilan bekalan di pasaran.
“Kita perlu bertenang dan membeli barang seperti biasa. Setakat ini bekalan masih ada dan tidak perlu menyimpan stok secara berlebihan.
“Jika semua orang membeli mengikut keperluan, keadaan akan kekal stabil dan tidak timbul masalah kekurangan barangan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi serta mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
-AA-





