
Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor/Maziah Ahmad Zaini (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Orang ramai diminta peka dengan penipuan dalam talian yang menggusarkan, tidak kira samada penipuan kerja, penipuan cinta, penyamaran identiti ataupun penipuan pelaburan, kata Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Melaka Mohammad Hairol Md Desa.

Antara tetamu yang hadir.
“Rakyat Malaysia sepatutnya tahu dengan penipuan ini agar tidak menjadi mangsa seterusnya. Dinasihatkan kepada anda semua peka dan cakna tentang perkara ini serta berpesanlah kepada keluarga, sahabat handai dan saudara mara,” ujarnya.
Mohammad Hairol, berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama Asnaf Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia, di sini semalam.
Seramai 450 orang termasuk 250 golongan asnaf, anak-anak PPDK dan penghuni Anjung Putera Melaka disantuni dalam majlis anjuran MCMC Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Penerangan, Jabatan Agama Islam Melaka, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM).

Ucapan perasmian oleh Fairul Nizam.
Sumbangan telah disampaikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Melaka Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Fairul Nizam Roslan.
Majlis dimulakan dengan taklimat Kesedaran Kempen Internet Selamat yang telah disampaikan oleh Mohammad Hairol.
Antara pengisian program adalah sesi tazkirah bertajuk ‘Mulia dengan Memberi, Bahagia dengan Berkongsi’ oleh Pencetus Ummah Mohd Amirul Amin Maula Lukman Hakim yang menyentuh tentang kepentingan sifat pemurah dan semangat berkongsi rezeki khususnya dalam bulan Ramadan.
?Majlis ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan masyarakat, malah menyemarakkan lagi semangat kebersamaan serta nilai keprihatinan dalam kalangan komuniti setempat.
-RI





