Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Konflik Asia Barat: Anwar Mahu Jemaah Menteri Lebih Proaktif Adakan Sesi Libat Urus

By 17 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri lebih proaktif mengadakan libat urus bersama pemain industri di bawah kementerian masing-masing bagi mendapatkan maklum balas berhubung kesan pergolakan di Asia Barat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu disebut Anwar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menegaskan sekali lagi Menteri-Menteri juga perlu proaktif untuk mengadakan sesi libat urus.

“Seperti yang telah dilakukan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dengan mengadakan perbincangan dengan sektor penerbangan yang mana kesan daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat memberi impak kepada sektor tersebut,” katanya pada Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di sini hari ini.

Beliau berkata dapatan keseluruhan libat urus itu akan memberi hala tuju dalam perancangan usaha dan inisiatif serta bantuan oleh kerajaan untuk sektor-sektor tertentu bergantung kepada keperluan.

Pada 13 Mac lalu Anwar telah mengarahkan sesi libat urus dengan pemain industri diadakan yang melibatkan semua kementerian mendapatkan maklum balas, pandangan serta kesan yang mungkin berlaku akibat konflik di Asia Barat.

Sementara itu, Fahmi berkata mesyuarat hari ini juga telah menerima laporan awal daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang disediakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mengenai cadangan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam.

“Perdana Menteri telah minta supaya beberapa perkara disusuni dengan lebih rapi dan dibentangkan untuk dibuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang, yang akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda