
Laporan/foto: Zaini Morshidi/Shahrezza Halet (Sibu)
SIBU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Masjid Al Qadim yang berdiri megah di persimpangan Jalan Kampung Nyabor dan Jalan Tun Abang Haji Openg terus menjadi lambang warisan Islam yang kaya dengan sejarah di daerah ini.
Masjid yang dianggarkan berusia sekitar 165 tahun itu kembali ‘hidup’ selepas melalui proses pemuliharaan dan penambahbaikan intensif dari tahun 2017 hingga 2022.
Projek tersebut dijayakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Annuar Rapaee bersama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS).

Keunikan ukiran di dalam Masjid Al Qadim sering menjadi tumpuan para jemaah mahupun pengunjung yang ingin melihat keindahan masjid tersebut.
Pakar dari Universiti Teknologi Sarawak (UTS) turut terlibat dalam memastikan struktur masjid tersebut dikekalkan mengikut identiti asal.
Kewujudan masjid ini menjadi bukti sumbangan komuniti Melayu-Melanau dalam membentuk sejarah awal penempatan lama di Sibu.
Muazzin Masjid Al Qadim Mohd Adam Radjeman, 27, berkata masjid tersebut mempunyai nilai sentimental tinggi sebagai pusat perkembangan sosioagama umat Islam suatu ketika dahulu.
“Masjid ini pernah menjadi nadi komuniti untuk kelas Al-Quran dan kuliah agama sebelum peranannya beralih ke Masjid An-Nur pada awal 1980-an,” katanya kepada Malaysia Aktif semalam.
Adam memberitahu usaha pemuliharaan yang dilaksanakan berjaya menyelamatkan struktur bangunan daripada kerosakan serius akibat faktor usia dan cuaca.

Ruang mihrab dan mimbar yang unik di dalam Masjid Al Qadim.
Kekuatan sebenar masjid ini terletak pada semangat gotong-royong masyarakat terdahulu serta sentuhan seni bina tukang tersohor dari Sumatera Abdul Salam Minangkabau.
Masjid Al Qadim menampilkan keindahan vernakular Nusantara melalui struktur empat tiang utama Saka Guru yang sinonim dengan seni bina Jawa.
Bumbung Meru tiga tingkat yang menyerupai Masjid Agung Demak pula menjadi identiti utama melambangkan adaptasi budaya Islam dengan konteks tempatan.
Keunikan ini diperkaya dengan penggunaan kayu belian pada struktur utama serta pintu masuk berkonsepkan Neoklasik Eklektik dengan tiang Corinthian.

Identiti tempatan dengan kayu belian keras mendominasi dinding dan lantai Masjid Al Qadim.
Setiap perincian termasuk tingkap kaca berwarna serta pintu asal yang masih kukuh dipelihara dengan teliti untuk tatapan generasi akan datang.
Kapasiti jemaah kini dihadkan antara 250 hingga 300 orang bagi memastikan kelestarian struktur bangunan atas nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR).
Masjid Al Qadim terus berdiri sebagai simbol jati diri dan kebanggaan warisan Islam yang kekal mewarnai sejarah Sarawak dengan wajah baharunya.
-RJ-





