
Laporan/foto: Shah Hood/Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor
JOHOR BAHRU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Kejayaan calon Peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) Tahun 2025 mencatat peningkatan membanggakan apabila 89.01 peratus calon lulus, berbanding 83.47 peratus pada tahun sebelumnya.
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Nasri Md Ali berkata jumlah calon yang memperoleh Pangkat 1 SDKA meningkat kepada 9,853 orang, manakala 4,995 calon pula mendapat Pangkat 2.
“Peratusan pencapaian bagi mata pelajaran al-Quran dan hafazan meningkat hampir sempurna iaitu 99.97 peratus, manakala subjek Tauhid mencatat 90.06 peratus dan Tajwid pula 88.49 peratus.
“Peningkatan pencapaian calon SDKA 2025 membuktikan usaha gigih guru dan pelajar membuahkan hasil. Disiplin dan doa adalah kunci kejayaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan SDKA Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor Tahun 2025 di Dewan Asyura, Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.
Menurutnya, daerah Kota Tinggi muncul sebagai daerah terbaik dengan 20 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) mencatat kelulusan 100 peratus.
Sekolah Agama (SA) Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi pula muncul sekolah terbaik apabila 36 calon meraih Pangkat 1, diikuti SA Penjara Simpang Renggam, Kluang (19 calon) dan SA Mawai Baru, Kota Tinggi (9 calon).
Beliau turut memaklumkan bahawa pelajar Ainul Mardhiah Azad Anugerah dari SA Kangkar Pulai, Johor Bahru, yang meraih 12 Gred 1, dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SDKA 2025.
-AA-





