
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan menganjurkan Jualan Agro MADANI (JAM) sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

Daging segar antara barangan yang dijual pada harga lebih murah
Program dengan peruntukan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kedah itu bertujuan memastikan bekalan makanan asas mudah diperoleh, khususnya bagi penduduk yang membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Pengurus Besar PPK Pendang Selatan, Muhamad Shafiz Zakaria berkata, harga barangan yang ditawarkan adalah sekitar 30 peratus lebih murah berbanding pasaran semasa.
“Program ini bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah selain memastikan bekalan makanan asas sentiasa mencukupi,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Antara barangan yang ditawarkan termasuk beras, minyak masak, gula, telur, ayam serta pelbagai hasil pertanian lain.
Menurutnya, program tersebut juga akan diteruskan secara berkala dengan penganjuran seterusnya dijadualkan pada April dan Mei, yang akan dimaklumkan melalui media sosial PPK Pendang Selatan.
Penganjuran JAM dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup selain memudahkan komuniti setempat mendapatkan bekalan makanan pada harga lebih rendah.
-AA-





