
Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Hidayah, Mukim Bukit Mas, terus mendapat sambutan apabila orang ramai hadir seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Pengunjung membeli barangan keperluan harian khusus bagi persiapan menyambut Aildilfitri
Program ini memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat membeli barangan dapur, khususnya ayam mentah, pada harga lebih murah berbanding pasaran semasa.
Kehadiran pengunjung yang konsisten menunjukkan inisiatif ini terus relevan dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.
Menurut Pegawai Pemantau Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tanah Merah, Nur Athirah Abd Wahab, pelaksanaan program ini memfokuskan kepada golongan sasar termasuk B40.
“Barangan yang dijual ditawarkan dengan potongan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya ketika ditemui di lokasi program.

Orang ramai mengambil peluang membeli barangan sempena PJRM yang diadakan di pekarangan Masjid Al-Hidayah Mukim Bukit Mas Tanah Merah
Sementara itu, seorang pengunjung, Din Azman, 35, berkata beliau kerap mengunjungi program berkenaan kerana perbezaan harga yang ketara.
“Program ini sangat membantu, terutama menjelang Aidilfitri kerana banyak barangan dijual pada harga lebih rendah dan mudah diperoleh,” ujarnya.
Rata-rata pengunjung meluahkan rasa syukur kerana dapat berjimat, sekali gus meringankan beban perbelanjaan harian.
Inisiatif ini dilihat mencerminkan keprihatinan dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang Syawal.
-AA-





