
Laporan/foto: Norshahira Nasir/Zarihan Azib (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri semakin dirasai apabila orang ramai mula membuat persiapan awal, sekali gus menjadikan kedai barangan keperluan dapur dan persiapan raya, DIN STOP sebagai antara lokasi tumpuan utama.

Suasana di Kedai DIN STOP
Kedai berkenaan menerima kehadiran pelanggan yang terdiri daripada penduduk tempatan serta anak perantau yang pulang ke kampung halaman untuk membuat persiapan perayaan.
Pelbagai barangan keperluan seperti bahan memasak, peralatan dapur dan kelengkapan hidangan disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurut jurujual, Ahmad Muaz Salleh, setiap kali menjelang musim perayaan, kedai tersebut akan dipenuhi pelanggan dari pelbagai latar belakang.
“Setiap kali musim perayaan, memang ramai yang datang. Bukan sahaja penduduk tempatan, malah anak perantau juga mengambil peluang membeli keperluan memasak dan persiapan raya di sini,” katanya kepada Malaysia Aktif, hari ini.

Pelanggan tetap Kedai Din Stop, W. Mohd Khairul W. Hushim
Beliau menambah permintaan terhadap barangan asas meningkat dengan ketara berbanding hari biasa, sekali gus menjadikan suasana kedai lebih meriah dan sibuk.
Sementara itu, seorang pelanggan, W. Mohd Khairul W. Hushim, 45, berkata kedai tersebut menjadi pilihan keluarganya setiap kali menjelang Aidilfitri.
“Barangan lengkap dan mudah didapati, sekali gus memudahkan kami membuat persiapan raya,” ujarnya.
-AA-





