
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/JAINJ
JOHOR BAHRU, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjaya mengesan individu menyamar sebagai amil zakat fitrah di kawasan tumpuan di sekitar bandar raya ini, semalam.
Menerusi satu kenyataan, operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa JAINJ mengesan seorang lelaki didakwa mengaku sebagai amil yang sah dan mengutip zakat fitrah pada pukul 11 pagi semalam.
“Lelaki berkenaan mendakwa sebagai amil yang sah namun tidak dapat menunjukkan kad pengenalan dan kad kuasa atas alasan tertinggal, namun alasan yang diberikan tidak diterima dan penguat kuasa berkenaan dan telah mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, JAINJ memaklumkan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah mengeluarkan kad kuasa kepada amil yang bertauliah dan amil pula mesti membawa atau menunjukkan kad kuasa sebagai pengenalan diri ketika memungut fitrah dan bukan disimpan di rumah.
“Kita hendak mengelakkan amil yang asal mewakilkan kepada individu lain seperti imam bertauliah yang mengutip zakat fitrah tetapi mewakilkan kepada orang lain yang tidak bertauliah,” katanya.
Tambahnya lagi, penguat kuasa JAINJ akan terus membuat pemeriksaan terhadap amil di masjid, surau, bazar, pasar raya dan tempat tumpuan awam bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
-AA-





