Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program Geopark Pacu Kesedaran Dan Ekonomi Setempat Di Kota Belud

By 19 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/Mahathir Mohd Kamal (Kota Belud)

KOTA BELUD, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Daerah Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau merupakan komponen penting Kinabalu UNESCO Global Geopark yang mendapat pengiktirafan antarabangsa pada tahun 2020 serta 2023.

Pengarah Taman-Taman Sabah Maklarin Lakim berkata landskap Kinabalu mempunyai kepentingan geografi yang tinggi serta kaya dengan warisan geologi, biodiversiti dan budaya yang unik.

Kekayaan khazanah alam tersebut adalah selaras dengan kriteria ketat yang telah ditetapkan oleh pihak UNESCO bagi sesebuah tapak geopark global.

Maklarin Lakim menekankan kepentingan pemuliharaan warisan geologi dan budaya semasa berucap pada majlis penutupan Roadshow Taklimat Geopark Daerah Kota Belud bagi meningkatkan kesedaran komuniti setempat.

“Program jelajah yang dianjurkan bukan sahaja bertujuan memberi penerangan malah menjadi platform meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab bersama dalam pemuliharaan warisan,” katanya.

Maklarin menyempurnakan majlis penutupan Roadshow Taklimat Geopark Daerah Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak di sini, semalam.

Beliau memberitahu Taman Kinabalu turut berfungsi sebagai tapak pembelajaran terbuka kepada pelajar dan penyelidik untuk memahami proses bumi serta peranan komuniti.

Komuniti yang terlibat dalam aktiviti geopelancongan di kawasan DUN Kadamaian mencatatkan anggaran pendapatan sebanyak RM1.9 juta pada tahun 2025.

Peningkatan ekonomi tersebut didorong oleh keunikan gunung, landskap serta kepelbagaian budaya yang terdapat di daerah Kota Belud.

Pelbagai artifak termasuk tengkorak hidupan liar dan replika tenggiling dipamerkan bagi meningkatkan kefahaman komuniti mengenai biodiversiti yang menjadi komponen utama dalam Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton berkata pengiktirafan sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark merupakan satu pencapaian berprestij bagi daerah tersebut.

“Program ini penting bagi meningkatkan kefahaman komuniti terhadap konsep geopark supaya dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Program tersebut menampilkan penceramah utama termasuk Justinus Guntabid, Profesor Emeritus Felix Tongkul dan wakil Sabah Tourism Board Jason Paujik.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program termasuk pameran batuan dan mineral, produk kraftangan tempatan serta promosi geopelancongan bagi meningkatkan pengetahuan pengunjung.

-RJ-

Tinggalkan komen anda