
Laporan/foto: Akma Laily Hamdan/Shafik Jamloh (Maran)
MARAN, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Penyaluran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Khas Kewangan baru-baru ini ternyata memberi impak positif dalam membantu penduduk di Daerah Maran melengkapkan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pembayaran bantuan khas yang dikreditkan kepada semua kakitangan awam persekutuan turut memberikan kelegaan kewangan bagi menampung perbelanjaan musim perayaan yang bakal menjelang.

Suriyani bersyukur bantuan diterima dapat meringankan sedikit beban kewangan.
Seorang guru, Suriyani Hamzah, 42, berkata bantuan khas sebanyak RM500 yang diterima amat membantu pengurusan aliran tunai keluarganya.
“Bantuan ini memberi sedikit ruang untuk kami membuat persiapan, terutamanya dalam urusan pembelian baju raya serta barangan keperluan dapur yang lain,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini Selasa lalu.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas pengumuman cuti tambahan awal sehari bagi sesi persekolahan yang bermula pada hari Rabu.
Menurutnya, langkah itu amat membantu golongan pendidik merancang perjalanan pulang ke kampung halaman lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang dijangka memuncak pada hari Khamis.

Ahmad Sairie memilih persiapan raya lebih awal untuk mengelak pembelian panik.
Sementara itu, kakitangan Majlis Daerah Maran Ahmad Sairie Mohammad, 39, berkata beliau memilih untuk melakukan persiapan lebih awal bagi mengelakkan budaya ‘pembelian panik’.
“Dengan perancangan awal, saya dapat membuat belanjawan yang lebih teratur dan harga barangan juga kebiasaannya lebih kompetitif.
“Ini penting bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan perbelanjaan tidak melebihi bajet yang ditetapkan,” katanya.
Tinjauan di sekitar Maran menunjukkan suasana persiapan raya kini mula rancak dengan penduduk memanfaatkan bantuan yang diterima untuk berbelanja secara berhemah.
-RI





