
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Semangat kebersamaan dan keprihatinan jelas terpancar apabila Kariah Surau Pekan Baru menganjurkan program sedekah bakti bagi menyantuni perantau yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Agihan makanan dan minuman percuma kepada perantau yang berada dalam kenderaan.
Program yang berlangsung di Stesen Minyak Petronas Pekan Bandar Diraja, bermula seawal jam 12 tengah malam ini merupakan inisiatif murni yang diilhamkan oleh Pengerusi Surau, Tengku Dato’ Rohanim Tengku Hamid, dengan tujuan berkongsi kegembiraan Aidilfitri bersama para perantau yang menggunakan laluan pantai dari Johor menuju ke negeri-negeri Pantai Timur.
Melalui program ini, para sukarelawan yang terdiri daripada ahli kariah surau telah mengagihkan pelbagai juadah ringan, minuman serta kit perjalanan kepada pengguna jalan raya yang singgah mengisi minyak atau berehat seketika.
Menurut Tengku Dato’ Rohanim, program sedekah bakti yang bermula 17 hingga 20 Mac ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan perjalanan para perantau, malah sebagai tanda ingatan dan kasih sayang masyarakat setempat kepada mereka yang pulang berhari raya.
“Ini adalah satu usaha kecil daripada pihak surau untuk berkongsi rezeki dan menyemarakkan lagi semangat Aidilfitri. Kita mahu perantau rasa dihargai dan sentiasa diingati walaupun dalam perjalanan pulang ke kampung halaman,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Sementara itu, seorang perantau, Mohd Faizal Ahmad, 34, yang dalam perjalanan pulang ke Kelantan, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sangat bermakna dan menyentuh hati.

Salah seorang perantau mengambil makanan percuma daripada kariah Surau Pekan Baru.
“Saya tidak sangka akan disambut begini. Penat memandu dari Johor terasa hilang bila dapat layanan mesra dan sumbangan seperti ini.
“Ia benar-benar mencerminkan keindahan budaya kita, saling berkongsi dan mengambil berat antara satu sama lain,” katanya.
Tambahnya lagi, program seumpama ini wajar diteruskan kerana bukan sahaja membantu dari segi fizikal, malah memberi semangat kepada para perantau untuk meneruskan perjalanan dengan lebih selamat.
Program sedekah bakti ini dilihat sebagai satu manifestasi nilai murni masyarakat Malaysia yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan bersama, khususnya dalam menyambut hari lebaran yang penuh keberkatan.
-RI





