
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Inisiatif pemasangan lampu solar di beberapa lokasi berisiko di jalan utama Gugusan Chini nyata membawa kelegaan kepada warga peneroka, khususnya dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Usaha yang digerakkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Dato’ Mohd Sharim Md Zain itu dilihat tepat pada masanya apabila laluan berkenaan menjadi antara jalan utama yang digunakan oleh anak-anak perantau untuk pulang ke kampung halaman.

Mohd Sharim (dua dari kiri) bersama Penghulu Mukim dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Pekan di lokasi pemasangan.
Penduduk tempatan, menyifatkan pemasangan lampu solar tersebut sebagai satu langkah proaktif dalam mengurangkan risiko kemalangan, terutamanya pada waktu malam dan ketika aliran trafik meningkat musim perayaan.
Seorang peneroka FELDA Chini, Razali Mamat, 68, meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan ADUN Chini dalam menangani isu keselamatan di kawasan tersebut.
“Kami sebagai peneroka memang amat berterima kasih. Sebelum ini kawasan ini agak gelap dan berbahaya terutama pada waktu malam. Dengan adanya lampu solar ini, jalan jadi lebih terang dan selamat,” katanya.
Tambahnya, kemudahan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah membantu memudahkan anak-anak perantau pulang ke pangkuan keluarga dengan lebih yakin dan selamat sempena Aidilfitri.
“Ramai anak-anak kami bekerja di luar, jadi bila mereka balik kampung, sekurang-kurangnya perjalanan mereka di kawasan ini lebih selamat. Ini sangat bermakna buat kami sekeluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, usaha berterusan pihak ADUN Chini dalam memperkasakan kemudahan asas di kawasan luar bandar jelas mencerminkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan.
Inisiatif lampu solar ini diharap dapat diteruskan ke kawasan lain yang dikenal pasti berisiko, demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, khususnya pada musim perayaan yang menyaksikan peningkatan pergerakan pulang ke kampung.
-RI





