Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sarawak Perhebat Kawalan Rabies Susulan Peningkatan Kes

By 24 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Toslin Meyub/Lance Dunstan (Sarawak)

KUCHING, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak akan memperhebat langkah kawalan rabies melalui pelan tindakan lebih komprehensif susulan peningkatan semula kes penyakit itu di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Sim Kui Hian berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) telah mengarahkan satu mesyuarat menyeluruh diadakan bagi mengaktifkan semula pendekatan pengurusan wabak.

Langkah tersebut melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan usaha kawalan dilaksanakan secara bersepadu.

“Pendekatan tersebut melibatkan kerjasama erat antara DVS dan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan usaha kawalan dilaksanakan secara bersepadu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Rakyat di Pusat Konvensyen CIDB, di sini kelmarin.

Dr. Sim bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof semalam semasa Majlis Ramah Mesra Rakyat di Pusat Konvensyen CIDB, semalam.

Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tumpuan kini tidak lagi terhad kepada anjing, sebaliknya kucing turut diberi perhatian kerana berpotensi menjadi pembawa virus rabies.

“Kesedaran orang ramai terhadap risiko jangkitan rabies perlu dipertingkatkan memandangkan virus tersebut boleh dipindahkan melalui air liur haiwan yang dijangkiti,” katanya.

Orang ramai digesa mematuhi prosedur rawatan awal sekiranya digigit atau dicakar haiwan termasuk membasuh luka dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit.

“Semua klinik di Sarawak telah dilengkapi dengan bekalan vaksin rabies bagi manusia,” katanya.

Pemilik haiwan peliharaan disaran memanfaatkan program vaksinasi percuma yang dilaksanakan oleh DVS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan haiwan peliharaan mendapat perlindungan sewajarnya.

Sim menyeru kerjasama semua pihak dalam usaha menjadikan Sarawak bebas rabies semula susulan tiga kes kematian dilaporkan pada awal tahun ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda