
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Jackson Abel (Bau)
BAU, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Hari terakhir pelaksanaan Op Selamat 26 di Daerah Bau menyaksikan operasi berjalan lancar dengan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya meningkat.
Operasi bersepadu melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bau dilaksanakan secara menyeluruh.
Langkah penguatkuasaan tersebut dilakukan melalui SnapCheck, rondaan pencegahan jenayah serta pemantauan lalu lintas di beberapa lokasi strategik.

Anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bau melakukan pemantauan lalu lintas pada hari terakhir pelaksanaan Op Selamat 26 di beberapa lokasi strategik, hari ini.
Ketua BSPTD Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau Jimmy Tanjong Andrew Mang berkata, sebanyak 120 kenderaan telah diperiksa melibatkan 140 individu sepanjang operasi dilaksanakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 66 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak memakai tali pinggang keledar dan tiada lesen memandu.
Saman turut dikeluarkan bagi kesalahan pengubahsuaian ekzos, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta ketiadaan cermin pandang belakang,” katanya.
Jimmy menjelaskan operasi berlangsung dalam keadaan terkawal dan harmoni tanpa sebarang tangkapan atau kejadian tidak diingini berlaku.
Beliau menyifatkan Op Selamat 26 membawa mesej besar dalam usaha berterusan bagi menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya.
“Setiap pemeriksaan dan teguran adalah langkah pencegahan bagi memastikan pengguna tiba ke destinasi dengan selamat khususnya dalam musim perayaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pendekatan yang menekankan pematuhan undang-undang serta kehadiran aktif anggota di lapangan telah memberi impak positif terhadap pengurangan risiko kemalangan.
Penutupan Op Selamat 26 di seluruh negara menandakan berakhirnya fasa operasi keselamatan jalan raya bagi musim ini.
Kejayaan operasi ini diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya pemanduan yang lebih berhemah, berdisiplin dan selamat dalam kalangan masyarakat.
-RJ-





