
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SELEPONG, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Penduduk kawasan Selepong menunjukkan semangat kebersamaan menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Perdana 2026 oleh Kelab Komuniti Kawasan Selepong, hari ini.
Program yang bermula jam 8 pagi itu memberi tumpuan kepada kerja pembersihan dan pengumpulan sampah di lokasi strategik persimpangan P-Turn Lebuhraya Pan Borneo.
Aktiviti tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

Ahli Kelab Komuniti Kawasan Selepong mengutip sisa buangan di bahu jalan berhampiran persimpangan P-Turn Lebuhraya Pan Borneo bagi meningkatkan kebersihan dan keselamatan pengguna, hari ini.
Pengerusi Kelab Komuniti Kawasan Selepong Patrick Arik Kendoi berkata, program tersebut menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan silaturahim komuniti.
“Gotong-royong ini membuktikan semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat terhadap kebersihan serta kesejahteraan kawasan setempat masih kukuh,” katanya ketika ditemui hari ini.
Patrick menjelaskan penganjuran program seumpama itu juga bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi penduduk setempat.
Beliau mahu memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kemudahan awam khususnya di laluan utama Lebuhraya Pan Borneo.
Program tersebut turut melibatkan Bendahari Edward Jantai, Setiausaha Elton Sait serta barisan ahli jawatankuasa kelab yang lain.
Penganjuran aktiviti ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kemasyarakatan pada masa hadapan.
Langkah tersebut sekali gus memperkukuh perpaduan dan menjadikan Selepong sebagai komuniti yang aktif serta prihatin.
-RJ-





