Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

200 Penduduk Baling Semarakkan Solat Sunat Istisqa’ di Kuala Ketil

By 26 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rasidi Che Sa/Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Kira-kira 200 penduduk sekitar Baling berkumpul di Padang Awam Kuala Ketil pagi ini bagi menunaikan Solat Sunat Istisqa’ susulan kemarau panjang yang melanda kawasan tersebut.

Antara jemaah yang hadir pada program ini

Pejabat Agama Daerah Baling dengan kerjasama Majlis Daerah Baling menganjurkan program ini bagi menyemai kesedaran tentang kepentingan doa dan taubat dalam menghadapi ujian alam, di samping memperkukuh perpaduan masyarakat.

Program bermula dengan tazkirah bertajuk Khafiat Solat Sunat Istisqa’ yang disampaikan oleh Pegawai Agama Daerah Baling, Sheikh Hakimi Hassan.

Beliau menegaskan bahawa kemarau merupakan peringatan daripada Allah SWT agar umat manusia memperbaiki diri, memperbanyakkan taubat dan istighfar serta mengeratkan hubungan sesama insan melalui amalan kebajikan.

Seterusnya, peserta mengikuti bacaan tahlil, menunaikan Solat Sunat Istisqa’, dan mendengar khutbah pimpinan Imam Masjid Kuala Ketil, Anuar Abu Bakar yang menekankan bahawa kemarau ialah ujian dan pengajaran daripada Allah SWT yang menggesa umat Islam meningkatkan ketaatan kepada-Nya.

Beliau turut menyeru masyarakat meninggalkan maksiat, memperbanyakkan amalan kebaikan serta melaksanakan taubat dan istighfar agar doa yang dipanjatkan lebih mudah dimakbulkan.

Solat Sunat Istisqa juga dihadiri kaum wanita yg tidak melepaskan peluang bersama jemaah lelaki di program ini

Salah seorang peserta, Siti Norhani, 42, amat bersyukur kerana dapat berkumpul dalam majlis seperti ini.

“Semoga Allah SWT menerima doa kami dan menurunkan hujan yang membawa keberkatan kepada semua,” katanya.

Kehadiran masyarakat dalam program ini mencerminkan keprihatinan terhadap alam sekitar serta memperlihatkan semangat muafakat dan perpaduan komuniti dalam menghadapi cabaran bersama.

-AA-

Tinggalkan komen anda