
Laporan/Foto: Salleh Immun/IPD Mukah (Mukah)
MUKAH, 28 Mac (MalaysiaAktif) – Dua lelaki warga tempatan ditahan oleh orang awam kerana disyaki terlibat dalam kes pencerobohan, cubaan mencuri dan memiliki senjata berbahaya dalam satu kejadian di Jalan Kampung Bunut, di sini.

Salah seorang suspek yang telah ditangkap penduduk kampung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata kejadian bermula kira-kira jam 11 malam tadi apabila penduduk kampung terserempak dengan dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 25 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan sebuah rumah kosong sebelum bertindak melarikan diri ke hutan berhampiran.
“Penduduk kampung memaklumkan kepada pihak polis sebelum suspek muncul semula kira-kira 4 pagi dan bergerak ke arah motosikal dipercayai milik mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata salah seorang suspek dilihat membawa senjata tajam ketika cuba melarikan diri namun tindakan pantas penduduk berjaya menahan kedua-duanya sebelum diserahkan kepada polis.
Muhamad Rizal berkata sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah bergegas ke lokasi dan membuat tangkapan serta merampas sebilah pisau badik.

Senjata yang digunakan oleh kedua-dua suspek ketika ditangkap.
Siasatan awal katanya mendapati suspek dipercayai cuba memasuki rumah kosong untuk mencuri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mukah untuk permohonan reman bagi melengkapkan siasatan,” katanya sambil menambah suspek berusia 25 tahun mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
-FN





