
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 28 Mac (MalaysiaAktif) – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan sebagai platform penting dalam mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa bagi menyokong pembentukan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik dan sahsiah.

Ahmad Azli menyampaikan ucapan alu-aluan.
Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Datuk Abdullah Mat Yasim berkata kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa mampu meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar, sekali gus mengekalkan prestasi sekolah sebagai antara yang terbaik di daerah ini.
“Hubungan dan penyaluran maklumat yang berkesan antara sekolah dan ibu bapa amat mustahak, khususnya dalam mendepani pelbagai isu semasa seperti buli, penipuan dalam talian dan ugutan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-49 di Dewan Sri Panglima, di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan PIBG memainkan peranan signifikan dalam penyampaian ilmu pengetahuan serta penjagaan kebajikan pelajar.
Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Panglima Raja Ahmad Azli Abdullah berkata prestasi pelajar amat membanggakan sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
“Harapan saya agar setiap pelajar yang menamatkan persekolahan di sini menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Seorang ibu, Maizura Yusuf, 45, berkata kehadirannya ke mesyuarat PIBG membolehkan beliau mengikuti perkembangan pembelajaran anak dengan lebih dekat, selain memudahkan komunikasi melalui saluran digital yang disediakan pihak sekolah.
-RI





