Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Musim Bubuk Meriahkan Bintulu, Nelayan Raih Rezeki Lumayan

By 30 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Joannes Duat (Bintulu)

BINTULU, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Suasana di pesisir pantai Bintulu berubah meriah setiap kali tibanya musim bubuk atau udang geragau antara Februari hingga April.

Bubuk merupakan bahan utama dalam penghasilan produk tradisional Sarawak seperti belacan, cencaluk serta bubuk kering.

Para nelayan pantai mula turun ke laut seawal pagi demi merebut peluang rezeki bermusim yang dinanti-nantikan masyarakat setempat.

Fenomena tersebut bukan sahaja menceriakan aktiviti harian malah turut merancakkan ekonomi penduduk apabila bubuk muncul dalam jumlah yang banyak.

Lambakan udang geragau di kawasan belakang Pasar Tamu Bintulu yang menjadi tumpuan pembeli dan pelanggan.

Perahu nelayan mampu dipenuhi hasil tangkapan dalam tempoh singkat sekitar tiga hingga empat jam bergantung kepada jumlah tenaga kerja.

Keadaan itu membolehkan nelayan menjimatkan masa di laut namun tetap berupaya memperoleh hasil jualan yang lumayan.

Hasil tangkapan yang tiba di darat terus dibawa ke kawasan belakang Pasar Tamu Bintulu yang menjadi tumpuan utama pembeli.

Pelanggan lazimnya sudah menunggu di tebing sungai bagi mendapatkan bekalan bubuk segar yang terkenal dengan kualiti tingginya.

Udang geragau tersebut dijual pada harga berpatutan serta mendapat permintaan tinggi daripada penduduk tempatan dan kawasan berhampiran.

Para pelanggan menunggu di tebing sungai bagi mendapatkan bubuk segar yang terkenal dengan kualitinya.

Nelayan Kelvin Gelian, 30, berkata harga semasa bubuk yang dijual sepanjang musim ini ialah RM15 bagi setiap dua gantang.

“Musim bubuk memang kami nanti-nantikan setiap tahun kerana dalam tempoh beberapa jam sahaja kami mampu memperoleh hasil yang banyak,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Kelvin menjelaskan aktiviti itu menjadi sumber pendapatan tambahan yang sangat membantu memandangkan permintaan terhadap bubuk segar sentiasa tinggi.

Musim bubuk jelas memberikan impak signifikan kepada ekonomi komuniti pesisir serta kelangsungan hidup nelayan di daerah Bintulu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda